Tiada manusia yang dilahirkan sempurna di dunia ini. Pasti ada salah dan silap di mana-mana dan ini tentunya memberi kesan dalam sesebuah perhubungan. Pun begitu tidak salah jika kita belajar memperbaiki diri dan belajar menjadi yang terbaik buat pasangan. Semoga usaha menjadi yang terbaik ini sekali gus dapat memperbaiki perhubungan mahupun rumahtangga anda.
1. Realistik terhadap pasangan
Janganlah mencuba untuk mengubah pasangan
menjadi seseorang yang anda inginkan. Hadapi kenyataan dan terimalah
dirinya seadanya. Jangan berharap pasangan menjadi wanita terbaik,
tercantik mahupun suami yang paling romantis. Cintai pasangan seadanya
kerana dirinya. Ada sesuatu yang dimiliki oleh pasangan anda yang tidak
dimiliki oleh sesiapapun di dunia ini.
2. Terbuka tentang perasaan.
Ketika berhadapan dengan masalah, suami
biasanya lebih gemar untuk berdiam diri dan menyelesaikannya sendirian.
Namun, berbeza dengan wanita yang lebih terbuka tentang hati dan
perasaan mereka.Oleh itu bagi isteri cubalah pelajari sikap suami dan
tidak membuat jangkaan sendiri mengenai perasaan pasangan mereka. Bagi
suami pula, belajarlah untuk mengekspresikan perasaan dengan tepat
supaya pasangan lebih mudah memahami ketika anda marah, terluka,
tersinggung ataupun bahagia. Petanda awal sebuah perpisahan adalah
apabila pasangan itu berhenti berkomunikasi dari hati ke hati.
3. Gemar melakukan sesuatu yang menarik bersama
Carilah sesuatu yang boleh anda lakukan
bersama-sama. Sebagai contoh melakukan olahraga kegemaran bersama
pasangan ataupun melakukan suatu hobi yang anda berdua sama-sama senang.
Nikmati waktu ketika bersama pasangan.Anda boleh juga sekadar menonton
VCD di rumah atau mungkin jalan berpegangan tangan di kompleks
membeli-belah seperti masih waktu bercinta. Berhati-hatilah jika anda
lebih suka menghabiskan lebih banyak waktu dengan teman daripada
pasangan sendiri. Itu tanda yang kurang baik dalam perhubungan.
4. Tidak terlalu perfeksionis
Belajarlah untuk menerima apa yang
dilakukan oleh pasangan anda walaupun ia tidak seperti yang anda
inginkan. Contohnya bila suami membantu melakukan kerja rumah, walaupun
caranya menyidai kain, menyapu lantai atau memasak tidak sempurna,
tetapi tetaplah berterima kasih. Dalam perhubungan ada beberapa perkara
yang mana kita harus mampu memberi dan juga menerima.
5. Tunjukkan cinta
Bagi suami, cubalah membawa pulang kuih
kesukaan isteri anda. Boleh jadi coklat atau apa pun yang dia sukai.
Bagi isteri pula, manjakan pasangan suami anda dengan memasakkan makanan
kegemarannya atau membelikan sesuatu yang diinginkannya tetapi belum
sempat dibeli.Jadikan perkara sebegini bahasa cinta anda. Ada lima
bahasa cinta yang mana salah satunya boleh jadi selalu dilakukan oleh
anda atau pasangan iaitu sentuhan fizikal, kata-kata semangat, waktu
berkualiti, layanan dan hadiah. Tunjukkan rasa perihatin terhadap orang
yang anda cintai dan sayangi, ini akan memberikan kesan yang sangat
membahagiakan.
6. Saling menghormati
Jangan mempersendakan tentang rambut atau
kulit pasangan di depan orang lain atau anak-anak. Meskipun maksudnya
hanya untuk bergurau, tetapi fikiran di bawah sedarnya mungkin menangkap
maksud yang berbeza. Boleh jadi perkara ini akan menggugat keyakinan
dirinya. Mencintai adalah menghargai perasaan satu sama lain dan peka
terhadap perasaan pasangan.
7. Kuburkan masa lalu
Meskipun masa silam pasangan atau diri
anda sendiri cukup sukar, namun cubalah sedaya upaya tidak mengungkitnya
apatah lagi jika ia sesuatu yang negatif. Tiada seorang pun yang mahu
diingatkan tentang sesuatu yang membuatkan diri merasa malu. Apa yang
telah terjadi, biarkan saja ia berlalu.
8. Hilangkan rasa cemburu
Setiap perhubungan pasti tidak dapat lari
daripada perasaan cemburu, namun jangan sesekali membiarkan perasaan
cemburu itu melarat dan memudaratkan perhubungan. Rasa cemburu seperti
ini ibarat racun yang secara perlahan menyebarkan ke seluruh sendi-sendi
perhubungan anda. Percayalah kepada pasangan anda. Mencintai adalah
tentang memiliki rasa percaya dan yakin kepada pasangan.
9. Jaga komitmen
Jangan membuat janji yang dirasakan tidak
mampu untuk dipenuhi. Sekiranya tidak dapat dicapai, maka ini akan
mengurangkan rasa hormat oleh pasangan. Selain itu, jagalah kepercayaan
dan saling hormat menghormati antara satu sama lain adalah petua
perhubungan yang sihat. Jika pasangan mula merasakan bahawa ia tidak
penting, maka bersiap sedialah untuk kehilangan hatinya.
10. Jujur.
Jujur bukan sahaja dari aspek tingkah
laku tetapi yang lebih penting kejujuran untuk mengungkapkan perasaan
terdalam kita. Jika anda berasa marah, katakan bahawa anda sedang
marah.Jika anda berasa terluka, terus-terang. Luahkan dengan rasa tenang
tanpa perlu menengking atau menjerit-jerit hingga melukakan hati
pasangan. Jika anda tidak mampu berlaku jujur pada pasangan anda, pada
siapa lagi anda harus jujur?Renung-renungkan
[Sumber]
Ada apa-apa nak komen?
No comments :
Post a Comment